Berdosa Suami Tidak berlembut Dengan Isteri

Posted on
suami
Sumber Google

Islam sentiasa menyuruh umatnya agar berbuat baik sesama insan, lebih-lebih lagi kepada isterinya.

Isteri adalah pakaian baginya. Isteri juga merupakan orang yang paling rapat dan pembantu setia kepada kita.

>Maka sudah tentu kedudukan isteri sangat istimewa.

Anjuran berbuat baik kepada isteri adalah sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik 

— Surah An-Nisa ayat 19

Merenung ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa hukum berbuat baik kepada isteri adalah WAJIB

Ini merupakan satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap suami.

Bagi suami yang gagal melayan isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya, ini akan mengundang dosa.

Ingatlah wahai suami sekalian akan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-sebaik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya 

— Riwayat al-Tirmidzi

Kewajipan Memberi Layanan Sopan & Berbuat Baik Kepada Isteri

Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang berlemah-lembut terhadap ahli keluarganya.

Para suami, lihatlah dalam diri kalian:

— adakah hari ini akhlak kalian baik dengan isteri dan anak-anak?

Atau adakah sebaliknya?

 

Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya.

Apabila dia bersama kawan-kawan, perangainya sangat baik.

Jika kawan-kawannya dalam kesusahan, dia sanggup menolong walau apa cara pun. Bahkan sanggup membelanjakan wangnya untuk mereka.

Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama denganya ketika susah.

Namun apabila bersama isteri dan anak-anak, lelaki seperti ini menjadi sebaliknya..

Sekiranya isteri dalam kesusahan, dia tidak sanggup bergolok gadai.

Bahkan rela membiarkan orang lain yang menolong disaat isteri memerlukan kehadirannya.

Paling menyedihkan jika dia hanya membiarkan isteri keseorangan menjaga hal ehwal kebajikan anak-anak.

Sedangkan dia langsung tidak mempedulikan zuriatnya sendiri.

Kasihan isteri itu.

Apabila dia meminta sedikit wang untuk menampung perbelanjaan rumah, suami memberikan pelbagai alasan.

Apabila diminta sedikit masa untuk bersama-sama, suami menyatakan dia sedang sibuk.

—  Suami seperti ini belum layak dikatakan bertanggungjawab kepada isteri dan keluarga.

Maka disebabkan itu, janganlah kita ingat bahawa orang yang paling sempurna iman itu adalah orang yang kuat menghafal al-Quran, walaupun ia bagus.

Kesempurnaan iman juga tidak terletak pada pakaian bukan juga pada jubah yang kita pakai.

Tidak juga pada songkok, kopiah atau serban yang digunakan.

Rasulullah SAW berkata, orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya terhadap isteri dan ahli keluarga.

Saya suka ingatkan kepada para suami bahawa jangan menyakiti isteri kerana merekalah permata hati kita.

Jangan Bawa Masalah Dari Luar Pulang Ke Rumah

Jangan kita hanya memperelok akhlak dan penampilan diri ketika berada bersama kawan-kawan dan khalayak ramai sahaja.

Sedangkan Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa yang paling sempurna imannya adalah yang paling elok akhlak dengan isteri dan anak-anak.

Mengapa ketika di awal perkahwinan, kita sanggup berhubung setiap masa.

Namun setelah beberapa lama, semuanya berubah.

Bukan sahaja susah untuk menghubungi isteri dan anak-anak, bahkan mereka menghubunginya pula dilayan dengan percakapan yang kasar.

Bercakap pun seolah-olah hendak cepat sahaja.

Selain itu jangan sesekali membawa pulang masalah di pejabat ke rumah.

Jika kita dimarahi bos sekali pun, jangan lepaskan kemarahan kita kepada isteri.

Jika kita berhadapan masalah berat sekalipun, jangan dilepaskan kepada anak-anak. Mereka langsung tiada kaitan dengan masalah kita, malah langsung tidak bersalah.

Buangkan semua masalah luaran kita di pintu pagar rumah.

Apabila masuk sahaja ke dalam rumah, lemparkan senyuman yang paling manis kepada isteri dan anak-anak kita.

Dalam hadis lain, daripada ibn Abbas RA, baginda bersabda yang bermaksud:

Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik dengan isteri-isteriku

— Riwayat al-Tirmidzi

Berdasarkan hadis ini, baginda menegaskan bahawa sebaik-baik manusia dalam kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya.

Ini jelas kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Bahkan isteri adalah teman yang sanggup bersusah payah untuk suaminya kerana kasih sayang dan agama.

Ada pandangan yang menyatakan bahawa jika seorang suami berperangai baik dengan isterinya, maka dia juga baik dengan orang lain.

Namun sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya, maka dia juga akan bersikap tidak baik dengan orang lain.

Maka Berlemah Lembutlah Dalam Mendidik Isteri

Ingatlah pesanan baginda supaya berlemah lembut dan berhemah ketika mendidik isteri dan anak-anak.

Apalah salahnya jika kita sentiasa mengenang kebaikan isteri.

Kalaulah dihitung dan direnungkan dengan teliti, setiap suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuknya ialah isteri.

Sematkan dalam diri kita, walaupun isteri ada melakukan sebarang kesilapan anggaplah ia terjadi kerana emosi dan hormonya yang adakalanya tidak stabil.

— Ingat, perkara ini langsung tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Percayalah bahawa setiap isteri telah memberikan banyak sumbangan kepada suami.

Maka sentiasalah bermuhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesilapan yang mereka lakukan.

Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti kita akan dapat melihat kesilapan mereka amat kecil berbanding pengorbanan yang telah mereka buat.

Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia.

Sesungguhnya sebagai manusia, sudah tentu tiada yang sempurna dan tiada yang tidak melakukan kesilapan.

Pasti ada!

Bahkan kita juga sudah pasti ada melakukan kesilapan yang sama.

Cuma barangkali ia terhijap dan tidak diketahui orang lain.

Suami Juga Wajib Menutup Keaiban Isteri

Sebagai suami dan ketua keluarga yang bertanggungjawab dan sempurna akalnya, marilah kita bersama-sama menutup keaiban isteri.

Adalah tidak wajar sekiranya isteri ada melakukan sebarang kesilapan, suami pula menjaja dan menyebarkannya kepada semua pihak.

Itu hanya membuka aib isteri sendiri.

Ingat, jangat sesekali aibkan isteri di hadapan sesiapa pun, walaupun sesama keluarga atau sahabat rapatnya.

Keaiban isteri cermin bagi suami.

Apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Kelak akhirnya yang mendapat malu adalah diri sendiri dan keluarga.

Bagi suami yang membenci isteri, usahlah keterlaluan.

Mungkin isteri yang dibenci suami itu ada kebaikan yang lambat laun pasti akan zahir.

Sekiranya suami terlalu membenci, dibimbangi akan mengundang penyesalan yang tidak berkesudahan.

Berlaku adil-lah kepada isteri.

Jika suami punya kesilapan, kekurangan dan kelemahan yang boleh dimaafkan oleh isteri, maka mengapa si suami tidak boleh melakukan perkara yang serupa?

Ingatlah bahawa kemulian yang dirasai ketika ini mungkin kerana disebabkan kerana Allah menutupi aib kita.

Jika terbongkar, apakah ketika itu yang kita rasai?

Fikir-fikirkan wahai suami sekalian..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *