Ketahui Rukun Nikah Agar Pemudahkan Urusan Nikah

Posted on
Sumber Gambar: Google

Apakah rukun nikah?

Artikel ini akan memberi panduan tentang rukun nikah, syarat sah nikah, dan perkara yang mengharamkan nikah secara lengkap dan mudah.

Panduan ini juga menyenaraikan perkara-perkara yang berkaitan jenis-jenis wali dan kriteria pemilihan suami dan isteri.

Jika anda sedang memerlukan panduan berkaitan syarat nikah, mari kita mulakan..

 

Akah nikah atau perkahwinan yang ingin disempurnakan perlu memenuhi rukun-rukun seperti berikut:

1. Lelaki yang bakal menjadi suami.

Pengantin lelaki mestilah seorang Islam, baligh, berakal, tidak berada dalam ihram atau umrah, tidak dipaksa kahwin, tidak beristeri lebih daripada 4 orang dan perempuan yang ingin dikahwininya itu bukanlah mahram kepadanya.

2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.

Pengantin perempuan mestilah seorang Islam, tidak berada dalam ihram haji atau umrah, bukan isteri kepada seseorang dan tidak berada dalam iddah.

3. Wali yang mengakad nikah pasangan atau mewakikan kepada juru nikah.

Syarat bagi wali adalah Adil, Islam, baligh, lelaki, merdeka, tidak fasik, kafir atau murtad, bukan dalam ihram haji atau umrah, waras – tidak cacat akal fikiran atau gila, dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan dan tidak muflis atau ditahan kuasa atas hartanya.

4. Dua orang saksi yang mendengar dan mengesahkan akad nikah.

Syarat bagi saksi adalah mesti beragama Islam, baligh, berakal, merdeka, dapat mendengar dan melihat dengan baik, tidak pelupa atau nyanyuk, memahami bahasa yang digunakan untuk ijab dan kabul dan tidak terkena atasnya menjadi wali.

5. Ijab dan kabul

Ijab ialah lafaz akad nikah oleh wali atau wakil. Kabul ialah ucapan pengantin lelaki atau wakilnya sebagai tanda penerimaan.

Jenis-Jenis Wali
Wali mujbir: Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan)
Wali aqrab: Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali
Wali ab’ad: Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.
Wali raja/hakim: Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu

Perkara Yang Mengharamkan Nikah

Terdapat beberapa perkara yang mengharamkan sesebuah pernikahan dilakukan, iaitu:

Haram nikah dengan sebab keturunan seperti lelaki dengan ibunya atau anak saudara atau perempuan dengan bapanya.
Haram nikah dengan sebab saudara susuan.
Haram nikah dengan sebab seperti lelaki berkahwin dengan ibu mertuanya atau ibu tirinya atau ibu susuannya.
Bekas isteri yang telah diceraikan dengan talak tiga, masih boleh dikahwini setelah si isteri berkahwin dengan lelaki lain, bersetubuh dengannya, diceraikan dan habis idahnya.

Perkara keempat hanya berbentuk sementara manakala perkara satu hingga tiga berbentuk selama-lamanya.

Kriteria Pemilihan Suami 

Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan suami menurut Islam, antaranya adalah:

1. Kuat beragama & berakhlak mulia

Lelaki soleh ialah bakal ketua keluarga yang mampu mentadbir isteri, anak-anak dan rumah tangga dengan baik dan bertanggungjawab.

Itulah asas penerimaan seorang lelaki sebagai menantu oleh keluarga pihak perempuan.

Menerusi hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, maksudnya:

Apabila datang meminang kepada kamu seorang (lelaki) yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang berleluasa di atas muka bumi.

– Hadis riwayat at-Tirmizi

2. Bukan Keluarga Terdekat

Tidak digalakkan bakal suami daripada kalangan keluarga terdekat.

3. Bebas daripada Penyakit Berat

Seorang lelaki mestilah bebas daripada penyakit-penyakit yang menghalangnya daripada berkahwin seperti gila, kusta dan lemah syahwat.

Kriteria Pemilihan Isteri

Peranan isteri begitu penting kerana padanya segala urusan tentang rumah tangga diamanahkan.

Selain menjadi penyeri dan teman hidup suaminya, isteri harus menjaga kepentingan makan minum keluarga, mengandung dan mendidik anak-anak, menyimpan rahsia dan menjaga maruah suami dan sebagainya.

Oleh itu terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan isteri mengikut syarat, antaranya:

1. Perempuan Yang Taat Beragama

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Dinikahi perempuan itu kerana empat: hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan

– Hadis riwayat al-Bukhari

Oleh itu, utamakanlah pemilihan isteri yang taat beragama seperti suka beribadat, menutup aurat dan lain-lain melebihi dasar-dasar lain seperti harta kekayaan, nasab keturunan dan rupa paras yang menawan.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyifatkan wanita yang maksudnya:

Dunia ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

– Hadis riwayat Muslim

2. Berketurunan Baik Dan Dibesarkan Dalam Persekitaran Yang Sempurna Akhlaknya

Islam menggalakkan supaya memilih bakal isteri nasab keturunan yang baik-baik dan dibesarkan dalam suasana kekeluargaan dan masyarakat yang berhemah tinggi dan berbudi pekerti mulia serta mengamalkan nilai hidup yang diredhai Allah.

Ini penting untuk membentuk suasana yang harmoni, saling mengasihi dan hormat-menghormati antara suami dan isteri.

3. Perempuan Yang Subur & Berpotensi Melahirkan Ramai Anak

Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan ramainya umat Islam pada hari Kiamat nanti terutamanya umat yang beriman dan bertakwa.

Jesteru, amat tepat kiranya dapat dipilih wanita yang subur dan mampu melahirkan anak yang ramai.

Wanita ini dapat dikenali dengan melihat ramainya anak-anak saudara perempuan dan juga saudara-mara perempuannya yang terdekat.

4. Sekufu atau Hampir Sekufu

Antara faktor lain yang membawa kepada kebahagiaan rumah tangga ialah faktor ekonomi, pelajaran dan dari segi umur.

Maksudnya janganlah si bakal suami itu terlalu jauh jarak umurnya dengan bakal isteri.

Seelok-eloknya ialah 10 tahun lelaki lebih tua daripada wanita.

Namun, apabila si lelaki mempunyai latar belakang pelajaran yang lebih tinggi dan juga taraf ekonomi yang lebih baik, maka ini boleh menjamin rasa hormat si isteri pada suaminya.

5. Masih Gadis atau Anak Dara

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam memilih isteri daripada kalangan gadis, bukan janda.

Kemesraan yang akan lahir lebih menggembirakan kedua-dua belah pihak.

6. Pasangan Bukan Daripada Keluarga Terdekat

Tidak begitu digalakkan berkahwin dengan pasangan daripada kalangan kaum kerabat yang hampir seperti sepupu.

Antara sebabnya ialah mengurangkan keinginan syahwat yang boleh menjejaskan keharmonian perkahwinan dan dibimbangi mendapat anak yang cacat dan kurang bijak.

Penutup

Kebahagiaan yang dikecapi oleh manusia yang terbit dari hati nurani tidak dapat diluahkan jika dia hidup bersendirian tetapi harus dikongsi bersama pasangan masing-masing yang hak, mengikut lunas-lunas tertentu.

Jesteru, Allah menjadikan makhluk-makhlukNya khususnya insan ini, fitrahnya suka kepada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri dan seterusnya berkeluarga.

Hidup berkeluarga ini pada dasarnya lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.

Hubungan suci seorang lelaki dan perempuan yang mukallaf melalui ikatan perkahwinan ini menggambarkan corak kehidupan sempurna yang diredhai Allah SWT dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Rumah tangga yang dibina merupakan alam pertama yang boleh menentukan sejahtera atau tidaknya sesebuah masyarakat yang diwakili oleh individu-individu yang menyokongnya.

Seandainya suasana sesebuah rumah tangga itu aman bahagia dan kasih-mengasihi antara satu dengan yang lain, maka akan tenteram dan sejahteralah masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *