Maksud Sedekah Serta Kelebihan Bersedekah Menurut Islam

Maksud Sedekah Serta Kelebihan Bersedekah Menurut Islam

Apa Maksud Sedekah ?

Sedekah boleh di kupas atau di terangkan mengikut 4 aspek iaitu dari segi bahasa, Al-Quran, Al Sunnah dan juga mengikut pendapat para ulama.

Maksud Sedekah Mengikut Bahasa

Perkataan sedekah berasal daripada kata kerja صدق. iaitu ia membawa kepada 4 maksud :

  • Benar
  • Lurus
  • Orang yang memiliki sifat-sifat terpuji yang sempurna
  • Perkara yang diberikan kepada orang fakir kerana Allah

Jadi dapat disimpulkan bahawa maksud sedekah merujuk kepada pemberian seseorang kepada seseorang lain yang dalam kesusahan (fakir) dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa apa balasan dari mereka yang menerima sedekah tersebut.

Maksud Sedekah Menurut Al-Quran Dan As Sunnah Serta Istilah Ulama.

Maksud Sedekah Menurut Al Quran

Di dalam Al-Quran, perkataan sedekah ada digunakan dalam beberapa ayat:

خُذْ مِنْ اَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيْهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۗ اِنَّ صَلٰوتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

Ambillah sebahagian dari harta mereka guna sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya, Engkau membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.

(Surah At-Taubah :103)

Dalam ayat di atas, disebutkan perkataan sedekah memberi erti zakat. Di dalam tafsir kitab Al Qurtubi menyebutkan dalam ayat tersebut membawa maksud zakat itu wajib bagi golongan yang berkemampuan

اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغَارِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ

Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.

(Surah At-Taubah :60)

Al-Qurtubi juga menjelaskan maksud sedekah dalam ayat ini sebagai sedekah wajib iaitu zakat.

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيْضًا اَوْ بِهٖٓ اَذًى مِّنْ رَّأْسِهٖ فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ اَوْ صَدَقَةٍ اَوْ نُسُكٍ ۚ فَاِذَآ اَمِنْتُمْ

Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu dia bercukur), maka dia wajib berfidyah, yaitu berpuasa, bersedekah atau berkorban.

(Surah Al-Baqarah : 196)

Dalam ayat tersebut, Al Qurtubi menjelaskan bahawa perkataan sedekah bermaksud memberi makan seperti gandum, tamar, syaair (barli) atau zabib (kismis) kepada fakir miskin

Berdasarkan ayat ayat Al-Quran yang telah di berikan, dapat disimpulkan bahawa sedekah dalam Al-Quran memberi pelbagai jenis tafsiran atau maksud seperti, sedekah wajib (zakat), pemberian kepada fakir miskin, pelupusan hutang, mengembalikan hak kepada empunya, memeberi makan, dan keampunan.

Maksud Sedekah Mengikut As Sunnah

Dari Jabir bin Abdullah radliallahu ‘anhuma dari Nabi SAW baginda bersabda: “Setiap perbuatan baik adalah sedekah.”

(Hadith Riwayat Ibn Hibban)

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W : kamu membuang sesuatu yang bahaya dari tempat lau lalang adalah sedekah

(Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada beberapa hadith yang ditunjukkan, sedekah dalam Al Sunnah memberi maksud yang pelbagai antaranya ialah membuat perkara yang baik dan disukai Allah adalah salah satu bentuk sedekah. Setiap amal baik yang dilakukan manusia bukan sahaja dijanjikan pahala disisi Allah bahkan ia dikira sebagai sedekah. Selain itu, dalam hadith yang kedua, disebutkan jika membuang sesuatu yang berbahaya di atas jalan akan dikira juga sebagai sedekah.

Maksud Sedekah Mengikut Istilah Ulama

Antara pendapat ulama berkaitan dengan sedekah dapat dilihat menerusi pendekatan yang diberikan oleh ibn hajar. Beliau ada menegaskan bahawa “Sesungguhnya perkataan sedekah digunakan kepada zakat” . Namun ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau.

Disini kita dapat lihat perkataan “sedekah” boleh digunakan secara timbal balik dengan perkataan “zakat”. Manakala untuk zakat pula Nukhbah Binti al-Karamah menegaskan bahawa, zakat bermaksud kesuburan dan kebersihan dari segi bahasa dan ia dipakai pada erti sedekah wajib, sedekah sunat, nafkah dan keampunan.

Dari kata-kata Nukhbah, perkataan zakat walaupun diguna secara bergilir-gilir dengan sedekah, tapi pengertian sedekah lebih umum, kerana sedekah yang mencukupi adalah sedekah wajib, sedekah sunat, nafkah dan keampunan.

Jadi, di sini dapat disimpulkan bahawa perkataan sedekah menurut para ulama membawa maksud pemberian yang bertujuan untuk mendapat ganjaran pahala akhirat samaada dalam bentuk wajib atau sunat.

KELEBIHAN BERSEDEKAH MENURUT ISLAM

Terdapat banyak kelebihan bersedekah menurut Islam, antaranya:

  • Allah SWT memuliakan orang yang bersedekah.
  • Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi (bersedekah).
  • Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏اليد العليا خير من اليد السفلى

Yang bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat al-Bukhari)

Sedekah dapat menghapuskan dosa.

Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

والصدقةُ تُطفِيءُ الخطيئةَ كما تُطفِيءُ الماءُ النارَ

Yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun demikian, penghapusan dosa dengan sebab sedekah di sini mestilah disertai dengan taubat atas dosa yang telah dilakukan.

Allah melipat gandakan pahala kepada orang yang bersedekah.

Allah SWT berfirman:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah: 261)

Harta orang yang suka bersedekah tidak akan berkurang.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا

Maksudnya: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)

Orang yang bersedekah akan mendapatkan naungan di hari akhirat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari akhirirat salah satunya adalah:

ورجلٌ تصدَّق بصدقةٍ فأخفاها حتى لا تعلمَ شمالُه ما تنفقُ يمينُه

Yang bermaksud: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Terdapat pintu syurga yang hanya akan dapat dimasuki oleh orang yang bersedekah.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومن كان من أهل الصدقة دُعي من باب الصدقة

Maksudnya: “Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)

Sedekah menjauhkan seseorang dari api neraka

Sedekah itu walaupun sedikit, tetapi mampu menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya. Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتقوا النارَ ولو بشقِّ تمرةٍ

Maksudnya:“Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” (Riwayat Ahmad)

Baca Juga:

Sumber Dan Rujukan

Copyright © All rights reserved. | CoverNews by AF themes.