Panduan Lengkap (Cara Solat Sunat Nikah)

Posted on

SUMBER GAMBAR: by pngtree

Assalamulaikum, kepada sahabat yang akan bernikah.

Bagaimana cara solat sunat nikah?

Ini adalah panduan mudah dan lengkap untuk melakukan solat sunat nikah.

Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.

 

Pengenalan

Solat sunat nikah dilakukan bagi menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah yang telah memberi kita jodoh sebagai peneman hidup.

Setelah akad nikah, kedua-dua pengantin (terutamanya pengantin lelaki) disunatkan untuk mengerjakan solat sunat nikah.

Hukum Solat Sunat Nikah

Tidak ada solat khusus yang dinamakan solat sunat nikah.

Ia hanya solat sunat yang umum sahaja, dilakukan secara berjamaah oleh pasangan baru itu. (Albani, Adabul Zifaf)

Amalan solat sunat dua rakaat itu adalah amalan para sahabat, antaranya Abi Dzarr ra yang mengajar seorang pemuda bernama Abi Asied yang baru berkahwin dan Ibn Mas’ud ra yang mengajar seorang lelaki bernama Abu Jarir supaya solat dua raka’at bersama isterinya (secara berjama’ah) sebelum bersama.

Amalan ini hanya disokong oleh satu hadis Ibn Mas’ud (HR Ibn Abi Syaibah dengan isnad hasan) yang menyatakan sunat solat dua raka’at bersama isteri di malam pertama di mana suami menjadi Imam kepada isteri.

Tujuan solat itu memohon keberkatan Ilahi terhadap perkahwinannya.

— Sumber dari laman web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Jumlah Rakaat

Jumlah rakaat bagi solat sunat nikah adalah sebanyak dua rakaat dan dituruti dengan sujud syukur selepasnya.

Lafaz Niat Solat Sunat Nikah

Lafaz niat bagi solat ini adalah:

Usolli sunnatal ‘ursi rak’ataini lillahi Ta’ala
Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat berkahwin (nikah) dua rakaat kerana Allah Taala.

Cara Mengerjakan Solat Ini

Apabila selesai bernikah, lakukanlah Solat Sunat Nikah dua rakaat dengan berniat kerana ingin meraih keredhaan Allah SWT semata-mata.

Tunaikan solat sunat ini sebanyak dua rakaat dengan cara dan tertib sebagaimana solat-solat sunat yang lain.

Rakaat Pertama

Pada rakaat pertama, bacalah surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Kafirun.

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

Rakaat Kedua

Pada rakaat kedua, bacalah surah al-Fatihah dan diikuti surah al-Ikhlas.

Maksudnya:

Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Melakukan Sujud Syukur Selepas Salam

Selepas memberi salam, maka lakukan sujud syukur.

Cara mengerjakan sujud syukur adalah seperti berikut:

Pelaksanaannya, hendaklah dalam keadaan berwuduk, berdiri mengadap kiblat.

Seterusnya bertakbir (Allahuakhbar) dan berniat:

Sahaja aku mengerjakan sujud syukur kerana Allah Taala.

Lalu terus sujud sekali dengan tidak rukuk.

Tiada bacaan khusus semasa sujud tetapi sunat kita bertasbih atau memuji Allah sebagaimana di bawah.

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakhbar.
Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.

Kemudian duduk dan memberi salam.

Panduan lanjut mengenai sujud syukur boleh dibaca pada pautan ini: cara mengerjakan sujud syukur

Anda juga boleh terus dilakukan sujud syukur terlebih dahulu selepas akad tanpa mengerjakan solat sunat nikah yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti.

Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.

Doa Selepas Solat

Membaca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh di dalam bahasa Melayu berikut:

Ya Allah! Dikau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, seru sekalian alam. Ya Allah! Daku bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan kami ini, daku memohon pada-Mu Ya Allah; Dikau berkatilah pernikahanku ini, Dikau jadikanlah daku dan isteriku orang-orang yang soleh.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mulah kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Dikau berikanlah daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.

Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Dikau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai yang soleh dan solehah. Dikau anugerahkanlah kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagian rumahtangga kami.

Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Dikau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Dikau jadikanlah daku dan isteriku serta bakal anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Dikau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.

Ya Allah! Dikau anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang zahir mahupun yang batin.

Ya Allah! Dikau berkatilah umur kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.

Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),

Dikau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah! (3 kali).

— Sumber dari web Shafiqolbu

Memegang Ubun-Ubun Isteri dan Membacakan Doa

Terdapat satu doa selepas akad nikah yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW, dengan cara pengantin lelaki memegang ubun-ubun isterinya.

Dianjurkan kepada seorang suami meletakkan tangannya di ubun-ubun si isteri ketika pertama kali mendekatinya.

Ubun-ubun adalah bahagian puncak kepala.

Si suami hendaklah meletakkan telapak tangan kanannya atas puncak kepala isteri (biasanya selepas bersolat sunat berjemaah bersama-sama di malam pertama) dan bacakan doa memohon kepada Allah agar perkahwinannya mendapat keberkatan.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوْذَ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Allahumma inni as’aluka min khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi. Wa a’udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi
Doa ini boleh juga dibaca dalam bahasa Melayu:

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.”

Penutup: Perkahwinan Ialah Satu Kesempurnaan

Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.

— Hadis riwayat al-Baihaqi r.a

Hubungan suci seseorang lelaki dan perempuan yang mukallaf melalui ikatan perkahwinan ini menggambarkan corak kehidupan sempurna yang diredhai Allah.

Oleh itu, wajar untuk kita melaksanakan solat sunat nikah untuk memanjatkan kesyukuran dan memohon agar rumah tangga kita sentiasa diberi petunjuk oleh Allah.

Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada anda 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *