Sedih Kawan Berhenti Kelas Sebab Tak Mampu Bayar Yuran, Adik Yusuf Tekad Menabung Dan Bayarkan Yuran Kelas Kawannya

Sedih Kawan Berhenti Kelas Sebab Tak Mampu Bayar Yuran, Adik Yusuf Tekad Menabung Dan Bayarkan Yuran Kelas Kawannya
Sedih Kawan Berhenti Kelas Sebab Tak Mampu Bayar Yuran, Adik Yusuf Tekad Menabung Dan Bayarkan Yuran Kelas Kawannya
Penulis Travelog Kembara Cinta di Syria, Mohd Nasaie Ismail memberitahu bahawa anak lelakinya, Yusuf ada meminta wang sebanyak RM20 untuk genapkan simpanan wang sakunya selama sebulan.
Seorang penulis berkongsi kisah prihatin tanpa berbelah bahagi cahaya matanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada 22 Ogos baru-baru ini.
Simpanan wangnya itu sudah mencecah RM80. Jika kita yang menjadi penjaga Yusuf, mesti kita tertanya-tanya mengapa dia sanggup mengumpul wang dalam jumlah yang agak besar. Apa yang terlintas di fikiran kita sebagai orang dewasa, Yusuf berkemungkinan mengumpul wang untuk membeli mainan baharu ataupun jersi bola baharu.
Sebab Yusuf mengumpul wang dalam jumlah yang besar
Tidak akan pernah terlintas dalam sangkaan kita sebagai orang dewasa, bahawa tujuan Yusuf mengumpulkan wangnya bukan untuk membeli mainan dan jersi, malah rupanya untuk membayar yuran rakannya.
Pada bulan lepas, dia ada memberitahu bapanya bahawa dia berasa sedih. Hal ini disebabkan ada rakannya yang terpaksa berhenti daripada menghadiri sekolah petang atau pun lebih dikenali sebagai kelas KAFA, kerana tidak mampu untuk melunaskan yuran.
Lebih menyentuh hati apabila anaknya mengumpulkan wang saku persekolahan secara senyap-senyap, bersama-sama wang pemberian datuk dan neneknya. Setelah lama mengumpulkan wang, akhirnya dapatlah dalam RM80, jumlah yang cukup besar bagi kanak-kanak.
Jumlah yuran yang perlu dibayar adalah RM100. Petang tadi, Yusuf berjaya membayar yuran tersebut dan rakannya kini boleh meneruskan persekolahan untuk bulan seterusnya. Siapa sangka, anak kecil ini mampu berfikiran jauh dan lebih matang daripada usia sebenarnya. Sifat setia kawan yang dimilikinya juga menyebabkan dia tidak sanggup melihat rakannya tercicir dalam pendidikan.
Yang lebih mustahak, kelas KAFA adalah sangat penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari asas mengenai ajaran agama Islam. Secara umumnya, kehadiran rakan-rakan baik semasa menempuh alam persekolahan mampu memberikan pengalaman dan kenangan yang tidak ternilai harganya.
Sehubungan itu, Encik Mohd Nasaie Ismail mengatakan bahawa kejadian ini telah membuka mata dan akal kita, bahawa ukuran menentukan kemenjadian bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza.
Tidak semua kemampuan anak-anak kita boleh diklasifikasikan secara analitikal. Ada potensi mereka yang tidak dapat diberikan gred, tidak sama seperti bidang akademik.
“Kadangkala apabila tengok anak anak sebegini akan menyedarkan kita bahawa ukuran yang kita letakkan pada setiap anak-anak tidak boleh sama. Terutamanya dalam akademik.”
Beliau juga menekankan bahawa bukan semua kanak – kanak mempunyai potensi yang sama. Akan tetapi, setiap kanak-kanak sudah pastinya diberikan ‘anugerah’ tersendiri yang bersifat unik. Kita sebagai ibu bapa dan warga pendidik perlu meraikan ‘anugerah’ tersebut.
Selain daripada memiliki kelebihan untuk memahami kesusahan orang lain, sifat empati kanak-kanak juga boleh dibentuk melalui didikan dan contoh yang diberikan oleh ibu bapanya di rumah. Benarlah kata orang, ibu bapa merupakan ‘guru’ pertama dalam kehidupan seseorang.
PERHATIAN: Pihak Admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page Majalah Perdana Ya.
Sumber : FB via majalahperdana