“Tak perlu panggil saya hajah” -Nelydia Senrose kongsi kisah manis tunai haji

“Tak perlu panggil saya hajah” -Nelydia Senrose kongsi kisah manis tunai haji

Pelakon cantik yang baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadah haji, Nelydia Senrose dilihat semakin menawan apabila tampil mengenakan hijab sewaktu majlis kesyukuran dan ulang tahun kelahirannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Dia yang sebelum ini dikhabarkan telah bertudung selepas pulang dari umrah beberapa bulan yang lepas dikatakan telah melepas hijab sewaktu bercuti bersama keluarga.

Cukup panggil Nelydia
Namun, dia akui hal tersebut adalah kesilapannya dan dalam proses memperbaiki diri sebelum mengerjakan haji bersama suami bulan lalu.

Menerusi laporan dari Harian Metro, Nelydia, 27 dilihat tidak kisah andai tidak dipanggil dengan gelaran ‘hajah’ dan cukup memanggil nama sahaja.

“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,” katanya.

Sukar diterjemah dengan kata2

Dia yang ditemui cukup kelihatan berseri-seri dan tak lokek berkongsi kisah sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurut pelakon drama Khilaf Asmara ini, perasaan ketika mengerjakan haji sangat indah dan sukar dijelaskan dengan kata-kata. Walaupun pernah mengerjakan umrah beberapa kali, saat sedang melakukan haji, ia berasa sesuatu yang sangat berbeza.

“Pengalaman mengerjakan ibadah haji sukar untuk saya susun dengan kata-kata sebab apa yang saya nak kongsikan dari mulut ini tidak akan sama dengan memori manis yang saya lalui di sana.

“Namun cukup sekadar saya katakan layanan Allah dan segala macam yang saya tempuh sangat cantik dan dipermudahkan. Walaupun saya pernah menunaikan umrah beberapa kali, tapi haji ini saya dapat rasa satu kelegaan yang sukar untuk diungkapkan.

“Benar orang kata pemergian mengerjakan haji ini ibarat kita berjihad dan berserah dengan apa saja ketentuan yang bakal berlaku. Saya serah segala-galanya kepada Allah dan mengharapkan kehadiran saya ini diterima dengan baik,” katanya.

Jumpa ramai orang2 hebat, banyak belajar dari mereka
Tambah isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi ini, dia mengakui bahawa ketika mengerjakan haji, ramai orang-orang hebat ditemui dan saling berkongsi ilmu daripada mereka.

“Sepanjang berada di bumi penuh barakah saya belajar dan bertemu ramai orang. Kami saling berkenalan dan jumpa dengan individu yang tidak saya kenal sebelum ini.

“Ketika berada di Arafah kita semua dilayan sama rata tanpa mengira darjat atau pangkat. Setiap manusia dilayan sama rata dan memiliki tujuan hidup yang sama iaitu berserah diri kepada Allah selain memohon keredaan-Nya,” katanya.

Berdoa supaya terus istiqomah

Dalam pada itu, Nelydia juga memaklumkan antara yang dimohon di Tanah Suci ketika mengerjakan rukun Islam kelima ini adalah supaya dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Dia juga berdoa supaya terus istiqamah dan terhindar daripada segala hal yang boleh menghalangnya membuat kebaikkan.

Sedang biasakan diri dengan penampilan baru

Ditanya perihal kerjaya seni pula, adik kepada pelakon Uqasha Senrose ini memaklumkan yang dia enggan terburu-buru kembali aktif berlakon kerana sedang membiasakan diri dengan penampilan terbarunya.

“Setakat ini karier seni akan terus berjalan seperti biasa, cuma saya nak biasakan diri dengan penampilan baru (bertudung) ini.

“Saya tahu apa yang boleh membuatkan saya suka dan datang perasaan nakal, jadi saya nak kawal dulu perasaan itu dan tidak terburu-buru,” ujarnya.

Terdahulu, Nelydia dan suami telah berangkat menunaikan haji pada 3 Julai 2022. Dia juga sempat berkongsi hal tersebut di media sosial dengan mendoakan agar segala urusannya di Tanah Suci dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Sumber dan rujukan

Harian Metro (Najiy Jefri), Instagram Nelydia Senrose VIA OMM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.