Tenggelamnya Kinabalu, Tenggelamlah Negeri Sabah

Posted on
Sumber : Adam Farid

 

Analisis Penuh Sabah Earthquake 2015 – Tenggelamnya Kinabalu, Tenggelamlah Negeri Sabah

Lima tahun lepas pada 5 Jun 2015, Gempa kuat 6.0 skala Richter melanda Negeri
Sabah dan mengorbankan 18 nyawa. Terdapat 2 pendapat awam atas punca berlakunya
gempa ini. Para Saintis menyifatkan gempa tersebut berpunca dari garis sesar jauh
di perut bumi. Pendapat yang lebih popular yakni gempa tersebut berpunca dari
tindakan pelacong asing membuat onar di puncak gunung sehingga membangkitkan
kemarahan semangat Akinabalu.
Sejujurnya, kedua-dua pendapat adalah betul. Punca sebenar gempa tersebut adalah
gelincirnya garis sesar Marakau, sebahagian daripada sistem garis sesar sepanjang
250km di Banjaran Croker yang berupaya mencetuskan gempa bumi sehingga 7.0 Skala
Richter. Dan Kinabalu adalah sebuah gunung yang sangat “marah”. Marah bukan hanya
pada pelancong asing, tetapi marah yang dipendam berjuta-juta tahun semenjak
kelahirannya, menunggu masa untuk membalas dendam.
Ini kerana Gunung Kinabalu, dari sudut norma geologi, sepatutnya tidak wujud.
Pulau Borneo adalah kawasan yang stabil dari semua proses geologi berbeza dengan
kepulauan Indonesia dan Filipina. Gunung Kinabalu diibaratkan seorang anak yang
tidak diminta dilahirkan, namun terlahir jua dan dibesarkan dalam persekitaran
yang abusive. Apa tidak, lembaran cerita gunung ini dipenuhi dengan kisah api,
ais, hujan dan batu.

1. Kelahiran Yang Tidak Diduga

20 juta tahun yang lalu, Pentas Sunda mulai terbentuk dan perlahan menolak Plat
Laut Cina Selatan ke dasar bumi. Pada ketika ini sebahagian besar Sabah masih
berada di bawah laut (kecuali kawasan Tawau dan Darvel). Plat yang tenggelam jauh
di dasar Borneo mulai melebur dan membentuk sebuah buih magma gergasi yang naik ke
permukaan bumi. Sekitar 10 juta tahun dahulu, buih magma yang perlahan mengeras
telah ditolak ke permukaan bumi sebagai bongkah granit gergasi, akhirnya
melahirkan Gunung Kinabalu.
Sepertimana jerawat di muka, dengan lahirnya Kinabalu, permukaan bumi di
sekitarnya mulai naik mendadak. Setelah berjuta tahun, seluruh Sabah telah
diangkat dari permukaan laut dan menjadi daratan. Tanah yang dahulunya rata
melalui proses lipatan yang membentuk Banjaran Croker dan Trusmadi. Proses ini
masih berlaku sehingga hari ini dimana Gunung Kinabalu meninggi pada kadar 5mm
setiap tahun. Batuan lebur di dasar Kinabalu juga masih menyejuk dan kesannya
masih dilihat di kolam air panas Poring. Proses penyejukan ini pula telah
mengecutkan Kinabalu, seterusnya membuka rekahan besar yang membentuk garis-garis
sesar pada hari ini.

2. Membesar Dengan Penuh Dugaan

Ketika Kinabalu dilahirkan, ia adalah gunung yang sangat tinggi dan tesergam
megah. Malah kajian menunjukkan gunung tersebut beratus-ratus meter lebih tinggi
dari hari ini (sekitar 4500-5000m). Namun Kinabalu muncul di lokasi sangat tidak
kondusif untuk pembentukan gunung yang tinggi. Ini kerana kawasan tropika
mempunyai kasar hujan dan tiupan angin yang tinggi sehingga memudahkan proses
hakisan berlaku.
Menjadikan situasi lebih teruk adalah berlakunya zaman ais sekitar 200,000 tahun
dahulu. Pada ketika ini, Gunung Kinabalu diliputi lapisan ais yang sangat besar
dan tebal. Lapisan ais yang berat ini mengelongsor dari puncak gunung dalam bentuk
glasier yang mengheret dan menghakis batuan dari gunung. Kesan dari proses ini
masih boleh dilihat di puncak gunung malah jurang Low’s Gully sedalam 1500m
terbentuk akibat hakisan glasier yang berat.
Lapisan ais mulai mencair dan hilang sekitar 5000 tahun dahulu. Batuan yang
terhakis kemudian terdampar di kaki gunung atau di sungai-sungai sekitar Kinabalu.
Terdapat satu kawasan berdekatan Kundasang (sekitar Desa Cattle) dinamakan Pinosuk
Gravel dimana terdapat ratusan bongkah granit yang ditinggalkan setelah glasier
mencair. Lokasi ini sangat menyerupai panorama di kaki pergunungan Alps di Itali.
Selain itu, batuan-batuan kecil granit yang terhakis (bewarna putih kehitaman)
dibawa oleh sungai-sungai. Batuan ini banyak dijumpai di sungai yang mengalir dari
Kinabalu seperti Sungai Mesilau, Panataran, Melangkap, malah sejauh sungai
Tamparuli. Jika dilihat dari segi banyaknya batu ini kita boleh agak betapa
besarnya Gunung Kinabalu suatu ketika dahulu. Jika dahulunya Kinabalu mempunyai
satu puncak yang tesergam megah, kini yang ditinggalkan adalah puncak-puncak kecil
yang tidak stabil dan boleh runtuh pada bila-bila masa (seperti Donkey Ears
sewaktu gempa bumi). Malah terdapat banyak bukti terdapatnya puncak-puncak dahulu
yang sudahpun runtuh.

3. Gempa Bumi dan Masa Depan Negeri Sabah

Gempa Bumi yang berlaku pada 2015 itu hanya satu lembaran kecil dalam sebuah kisah
yang besar. Gunung Kinabalu sudah sekian lama diuji dengan dugaan dan cabaran
semenjak lahir. Dahulunya tinggi megah, kini sudah luntur dari segi rupa akibat
proses hakisan, api dan ais. Namun suatu hari nanti, ia bakal membalas dendam
kesumat terhadap negeri Sabah, yakni negeri yang membawa kelahirannya.
Para pengkaji daripada UMS dengan kerjasama Pakar Cambridge, Aberdeen dan Jabatan
Meteorologi Malaysia telah menemui satu perkara yang menakutkan dan kelam untuk
negeri Sabah. Mereka telah menjalankan kajian GPS dibawah program North Borneo
Orogeny Seismic Surbey (nBOSS) melibatkan 46 pemancar GPS seluruh Sabah untuk
memantau pergerakkan benua. Mereka mendapati keseluruhan pantai barat daripada
Miri sehingga Kudat sedang bergerak perlahan menuju ke dasar Laut Cina Selatan.
Jika benar, ini berpotensi menjadi “tanah runtuh” yang terbesar dalam sejarah
dunia.
Proses ini dikenali sebagai Runtuhan Graviti (Gravitational Collapse) yang berlaku
kerana pembentukan Kinabalu sedikit sebanyak telah mengelongsorkan tanah ke dalam
laut. Bayangkan anda letakkan tangan ke dalam pasir dan perlahan mengangkat tangan
anda. Lihat bagaimana pasir mengelongsor ke tepi. Situasi yang sama sedang berlaku
di Sabah dalam kadar yang sangat perlahan (sekitar 5mm setiap tahun). Namun dalam
ratusan ribu tahun Bandaraya Kota Kinabalu mungkin akan berada di bawah permukaan
laut.
Situasi ini mungkin kedengaran mustahil dan mengarut, namun syarikat-syarikat yang
menjalankan eksplorasi minyak dan gas telah menjumpai bukti kukuh menerusi
penemuan bongkah gergasi (1000m x 150m) di pesisir laut Sabah. Bongkah tersebut
adalah sisa daratan yang sudah tenggelam ke dasar laut berjuta tahun dahulu.
Proses gelongsoran ini berlaku secara perlahan, namun boleh mencetuskan gempa bumi
kuat akibat rengangan pada garis-garis sesar di sekitar gunung. Ini bermakna
gempa-gempa besar akan terus berlaku pada masa hadapan dan penduduk setempat perlu
bersedia dari awal. Fakta buku teks yang mengatakan Malaysia bebas dari ancaman
geologi semakin samar dengan berlakunya gempa besar sebegini.
Dalam jangka masa yang panjang pula, para pengkaji belum mencapai kata putus
mengenai nasib Kinabalu di masa hadapan. Mungkinkah ia semakin meninggi atau bakal
tenggelam kembali ke dasar bumi? Kita tidak tahu. Yang kita tahu setakat ini
Kinabalu semakin meninggi dan perlahan menolak pantai barat Sabah menuju ke dasar
laut.
Namun kesemua ini hanya berlaku ratusan-ribu tahun lagi. Pasa masa itu anda dengan
saya sudah tidak lagi wujud di dunia ini dan mungkin sudah dilupakan generasi
ketika itu. Kini kita hanya mampu bersyukur dengan adanya Gunung Kinabalu yang
menjadi tarikan ramai dan menjadi simbol perpaduan orang-orang Sabah. Bersyukur
pada Tuhan kerana mengurniakan sebuah gunung yang stabil dan menjadi pasak yang
kukuh pada bumi Sabah. Tanpanya, Negeri Sabah mungkin tidak diangkat dan masih
tenggelam di bawah laut.
Tidak dinafikan lahirnya Sabah setelah lahirnya Kinabalu. Namun jika suatu hari
ditakdirkan gunung ini akan tenggelam, ia akan membawa Sabah tenggelam bersamanya,
ibarat laut dan pantai, tidak dapat dipisahkan.
Inilah kehendak dan kebesaran Allah SWT yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana
makhluk di bumi. Sepertimana wabak COVID yang berlaku sekarang, manusia hanya
mampu merancang dan melihat.
Dan terus melihat.

Sekian
Adam Farid
Kota Kinabalu, Sabah
**************************************
1. Sumber Rujukan Utama, Kertas Kajian oleh UMS (Prof. Felix Tongkul), Cambridge,
Aberdeen, dan Jabatan Meteorologi Malaysia:
https://www.researchgate.net/publication/244483683_The_Geology_of_Mount_Kinabalu
dan
https://eos.org/science-updates/deciphering-the-fate-of-plunging-tectonic-plates-
in-borneo
2. Kertas Kajian Post-Mortem Gempa 2015 dan Runtuhan Graviti Negeri Sabah:
https://link.springer.com/article/10.1186/s40562-017-0072-9
3. Bacaan Ringkas Pembentukan Kinabalu:
http://dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=120553

 

Sumber: Adam farid (facebook)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *